Resah saja dia malam itu. Sesekali matanya melirik ke arah jam di dinding. Sudah pukul 2 pagi. Detik hati Zulaikha. Dia bangun menuju ke dapur untuk membasahkan tekak yang kehausan. Sedang dia meneguk segelas air,pintu rumah diketuk bertalu-talu. Dia berlari-lari anak untuk membuka pintu.
“Hey,perempuan kau pergi mana hah!?” Jerkah Fitri dalam keadaan mabuk. Zulaikha segera memapah suaminya masuk ke dalam. Dia bimbang jika suaminya mengganggu jiran tetangga yang lain.
“Abang duduk sini dulu. Zu pergi ambil air suam dulu.” Belum sempat Zulaikha berlalu,tangannya ditarik dan dia terduduk di sisi suaminya.
“Nanti. Aku nak..kau sain ni.” Ujar Fitri sambil menghulurkan sehelai kertas. Zulaikha tergamam dan dia membaca setiap butir yang tertulis. Alangkah terkejutnya dia apabila kertas itu adalah surat persetujuan untuk Fitri berkahwin lagi. Zulaikha memandang Fitri.
“Kenapa abang? Zu tak jaga abang dengan sempurna ke selama ni?” bergenang air mata Zulaikha. Fitri tergelak sinis.
“Memang..memang kau tak jaga aku dengan baik. Kau tu,tak mampu nak bagi aku zuriat yang sempurna,normal! Kau faham? Tu,yang dekat atas tengah tidur tu bukan anak aku. Aku tak akan mengaku budak cacat tu anak aku. Hahah..”bergema suara Fitri. Dia sudah berdiri terhuyung-hayang sambil ketawa dan akhirnya jatuh tertidur begitu saja. Zulaikha mengucap panjang. Tidak disangka suami yang selama ini berjanji akan sentiasa bersama mengkhianati janjinya. Air mata mengalir deras. Bukan dia pinta untuk melahirkan anak yang kurang sempurna. Ini semua sudah suratan takdir. Dia sentiasa bersabar dengan dugaan yang datang melanda. Dia bangun lantas naik ke atas yang menempatkan kamar beradu mereka. Fitri ditinggalkan. Zulaikha tidak mahu mengganggu ‘tidur’ suaminya itu.
Sebaik saja dia melangkah masuk,anaknya Hanis sudah merengek. Zulaikha segera mendukung anaknya dan diberikan susu. Setelah anaknya kembali tidur,ditatapnya wajah Hanis penuh rasa sayu.
“Hanis,walaupun papa tak dapat terima Hanis,Hanis jangan risau ye sayang? Mama akan tetap jaga dan sayang Hanis. Hanislah satu-satunya buah hati kesayangan mama.” Zulaikha berbicara sendiri. Dia mencium kedua-dua belah pipi anaknya dengan penuh kasih. Kini Hanis sudah genap 3 bulan. Dia teringat lagi bagaimana reaksi Fitri bila mengetahui dia telah melahirkan anak yang mempunyai down sindrom. Fitri menuduhnya melahirkan anak lelaki lain. Begitu luluh hatinya saat itu. Sanggup Fitri menuduhya begitu. Setiap kali berdoa,Zulaikha selalu memohon agar kehadiran Hanis diterima Fitri.
Tidur Zulaikha dikejutkan dengan tangisan kuat Hanis. Mata yang ngantuk serta-merta menjadi segar. Dia juga dapat mendengar suara Fitri sedang memarahi sesuatu. Dia menjadi risau. Dia bangun dan melihat Fitri sedang menyeksa Hanis dengan memukul anak kecil itu. Zulaikha segera menerpa untuk menyelamatkan anaknya. Dia mendukung Hanis dan membawa Hanis jauh sedikit daripada Fitri.
“Abang ni kenapa? Dah gila ke? Abang sedar tak yang abang pukul ni darah daging abang,anak abang! Abang boleh pukul Zu tapi tidak Hanis.” Zulaikha memarahi suaminya. Hatinya pilu dengan keadaan ini. Hina sangatkah Hanis di mata suaminya itu?
“Anak kau tu memekak je! Aku nak tidur pun tak boleh. Kau ni tak reti ke jaga budak tu. Menangis je tahu. Lagi sekali kalau budak ni bising,tahulah apa aku nak buat. Aku bunuh dia!” Ancam Fitri. Zulaikha mengucap panjang. Anaknya yang menangis sudah kembali diam di dalam dakapannya. Zulaikha membiarkan saja Fitri berlalu keluar. Dia menjeling ke arah jam dinding biliknya. Ternyata sudah pukul 6 pagi. Dia menidurkan Hanis dan kemudian berlalu untuk menunaikan solat subuh dan bersiap untuk ke kerja.
Zulaikha keluar awal dari rumah. Setelah dia siap menyediakan sarapan,dia meninggalkan saja rumah tanpa mengejutkan Fitri yang masih tidur. Dia menuju ke arah rumah ibu mertuanya. Mujurlah kehadiran Hanis dapat diterima oleh ibu dan bapa mertuanya. Lagi pula Zulaikha sebatang kara. Tiada ibu dan bapa. Jadi,hanya pada keluarga Fitri dia menumpang kasih.
Setelah sampai,Zulaikha terus memberi salam dan menyalam kedua orang mertuanya. Hanis disambut gembira oleh Puan Meriam.
“Fitri mana?” soal Encik Karim setelah kelibat Fitri tidak kelihatan. Zulaikha menjadi buntu untuk menjawab dan akhirnya diam saja. Puan Meriam dan suaminya saling berpandangan. Mereka sedia maklum akan perkara yang melanda rumah tangga anak dan menantu mereka.
“Kali ni dia ada cuba menyakiti Hanis?” tanya Encik Karim. Saat itu air mata Zulaikha mengalir.
“Pagi tadi..pagi tadi dia pukul Hanis sebab Hanis menangis.” Ujar Zulaikha.
“Astarghfirullahalazim. Abang,anak awak tu dah gila ke?” Puan Meriam mengurut dadanya. Tidak disangka tega sekali Fitri bertindak demikian.
“Teruk ke dia pukul?”
“Tak sempat yah. Zu sempat dapatkan Hanis. Dia pukul sikit je.” Zulaikha tertunduk. Encik Karim hanya menggeleng.
“Ayah tak pernah ajar dia berperangai binatang. Ya Allah apalah nak jadi.”
“Ayah,malam tadi abang Fitri balik dalam keadaan mabuk lagi dan...”
“Dan apa?”
“Dan dia mintak Zu tanda tangan surat kahwin satu lagi.” Zulaikha mengesat air mata dengan hujung bajunya. Jelas wajah kedua orang tua itu terkejut.
“Apa? Jadi Zu setuju?” Puan Meriam mencelah.
“Zu tak tanda tangan lagi ibu. Ibu,Zu dah tak tahan. Zu rasa biar saja Zu cerai dengan abang Fitri. Zu tak nak Hanis disakiti.” Zulaikha menyimpan tekad. Sekali lagi Puan Meriam dan suaminya terkejut.
“Zu yakin ke nak? Ibu tak nak Zu buat keputusan terburu-buru.”
“Zu yakin dan benar-benar yakin. Biarlah dengan cara itu asalkan Hanis selamat. Zu terima kalau abang Fitri menuduh Zu yang bukan-bukan. Tetapi Zu tak terima kalau dia menyakiti dan menghina Hanis. Langsung tiada belas kasih terhadap Hanis yang merupakan darah daging kami berdua. Hina sangatkah Hanis bu?” Zulaikha meruntun sayu. Puan Meriam dan Encik Karim terdiam.
“Kalau itu keputusan Zu,kami tak akan halang asalkan dapat bahagiakan Zu. Tapi fikirkanlah semula dan berbincang secara baik. Jangan terburu-buru.” Pesan Encik Karim. Zulaikha hanya mengangguk
Tengah hari itu Zulaikha pulang ke rumah. Dia tidak membawa Hanis pulang bersama. Ketika melangkah masuk ke garaj,dia melihat ada kasut perempuan di hadapan pintu masuk rumahnya. Yang pasti bukanlah kasutnya. Dia segera masuk ke dalam rumah kerana pintu juga tidak berkunci. Tempat pertama ditujunya adalah kamar beradunya.
Bagai dipanah petir,Zulaikha melihat suaminya bersama seorang perempuan sedang melakukan perkara sumbang. Hatinya luluh dengan kecurangan suaminya.
“Abang..” hanya itu yang terucap. Fitri dan perempuan itu juga terkejut dengan kehadiran Zulaikha. Tanpa membuang masa Zulaikha segera berlari turun tangga. Dia harus meninggalkan rumah itu kerana rumah itu bukan lagi mahligai bahagia. Fitri menarik tangan Zulaikha. Zulaikha meminta untuk dilepaskan. Fitri menurut.
“Sampai hati abang buat Zu macam ni. Zu sendiri tak pernah buat perkara yang tak elok belakang abang. Abang,Zu nak minta lepaskan Zu. Jangan gantung Zu tak bertali. Ceraikan Zu.” Tutur Zulaikha di dalam tangisannya. Fitri memandang Zulaikha tidak percaya. Rasa kasih dan tidak sanggup datang menerpa. Tetapi itu semua sementara setelah wajah Hanis datang menerpa.
“Kau nak cerai? Baik..kau nak sangat ceraikan? Aku ceraikan kau Siti Zulaikha dengan talak satu!” ucap Fitri. Zulaikha terpana. Mengapa dengan mudahnya Fitri melepaskannya sedangkan dulu ketika hendak mendapatkan Zulaikha,bangunan universiti pun sanggup diterjunnya demi mendapatkan cinta Zulaikha. Sekarang dengan mudah dia melepaskan talak. Saling tidak ubah seperti habis madu sepah dibuang. Zulaikha menangis sebak. Fitri sudah mendaki anak tangga meninggalkan dirinya sendiri. Kini dan disaat ini,dia bukan lagi isteri kepada Muhammad Fitri. Zulaikha melangkah longlai keluar dari rumah yang bukan lagi rumahnya. Dari tingkap bilik,Fitri memandang dengan pandangan kosong.
“Apa? Ya Allah,sanggup dia buat macam tu. Abang,Fitri tak boleh dibiarkan. Makin dibiarkan,makin hanyut dibuatnya.” Ujar Puan Meriam setelah mendengar cerita Zulaikha yang kini sudah menjadi bekas menantunya.
“Abang pun berpendapat begitu. Baiklah jom kita ke rumah dia. Zu, Zu rehatlah dulu. Biar kami yang ke sana.” Ujar Encik Karim. Zulaikha hanya mengangguk mujurlah Hanis sudah tidur jadi dapatlah juga dia berehat sebentar. Belum sempat Puan Meriam dan Encik Karim keluar,dua orang anggota polis telah bertandang.
“Assalamualaikum,ini rumah keluarga Encik Fitri ke?”
“Waalaikumusalam,ye ni rumahnya. Ada apa encik?” Encik Karim bersalaman dengan dua orang anggota polis itu.
“Kami ingin memaklumkan bahawa Encik Fitri ditimpa kemalangan disimpang jalan besar depan sana. Di tempat kami meronda. Dan,dia telah meninggal di tempat kejadian.” Ujar salah seorang daripada mereka. Puan Meriam terkejut lantas pengsan. Encik Karim beristighfar. Tidak sempat dia bertemu dengan anaknya.
“Ya Allah..” hanya itu yang terucap dibibir Zulaikha. Mereka segera menuju ke hospital bagi menuntut mayat Fitri.
Sayu hati Zulaikha mengenangkan apa yang terjadi. Walau bagaimana sekalipun,segala kesalahan Fitri telah diampunkan. Ketika hendak melangkah pergi dari tanah perkuburan,Zulaikha berpaling semula ke belakang. Kebetulan dia berdiri di bawah pohon kemboja. Dipetiknya sekuntum bunga itu dan dia berjalan perlahan kembali ke kubur arwah bekas suaminya. Dia meletakkan bunga itu di atas pusara Fitri.
“Abang,kasih Zulaikha akan tetap bersama abang..” Zulaikha akhirnya melangkah pergi dan tidak lagi menoleh. Kini,dia hanya ada Hanis sebagai pengubat luka.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan