Powered By Blogger

Ahad, 22 Mei 2011

CERPEN ( MAAFKAN AKU )

Dia terbaring lemah di atas katil hospital. Kelopak matanya basah dek kerana air mata. Seribu satu kekesalan sering bertandang. Dia teringat kembali setiap dosa yang pernah dilakukannya dahulu.
Sharif menangis tanpa suara. Bayang wajah anak tunggal serta isterinya terbayang. Jika dulu dia tidak mengambil ‘benda haram’ itu, pasti kehidupannya tidak sebegini dan dia juga tidak akan terbaring lemah sendiri.


“Aku nak duit,kau tidak faham-faham lagikah?” dengan tanpa belas Sharif melempang isterinya. Sakit bukan kepalang. Yang tahu hanya Mila dan Allah saja. Sharif bertambah buas,dia menyelongkar seluruh kawasan bilik. Bila tidak ditemui,dia mula hendak memukul. Aidil yang baru berumur 8 tahun menyorok ketakutan di balik pintu. Dia melihat saja setiap tingkah bapanya. Dia ingin mendapatkan ibunya,tetapi takut dirinya akan dipukul.
“Mila tak ada duit bang,yang ada sekarang pun cuma duit belanja yang tidak seberapa.” Suara Mila tenggelam di dalam tangisannya. Sharif tidak menghiraukan kata-kata isterinya. Bila sudah gian,semuanya tidak tentu arah. Dia keluar dari bilik meninggalkan Mila. Disaat itu baru Aidil keluar dari tempat persembunyiannya dan mendapatkan ibunya. Mila memeluk Aidil erat-erat. Dia tidak mahu nanti anaknya pula menjadi mangsa.
Tiba-tiba pendengarannya menangkap bunyi benda pecah. Mila dan anaknya saling berpandangan. Dia mula diamuk resah. Segera dia bangun dan memimpin anaknya ke arah bunyi benda pecah itu. Ternyata bunyi itu datang dari bilik Aidil. Mila menjengah masuk dan kelihatan Sharif sedang mengutip duit di atas lantai. Terpana Mila apabila melihat duit-duit itu datang dari tabung simpanan Aidil. Sanggup Sharif memecahkan tabung anaknya sendiri demi ‘benda haram’ itu.
“Ya Allah bang,apa abang buat? Itukan duit Aidil. Abang jangan macam ni.” Mila menerpa masuk untuk merampas kembali duit-duit anaknya yang ada di tangan Sharif.
“Aahh! Kau jangan nak ikut campur. Datangnya duit Aidil daripada aku juga. Kalau kau macam-macam,aku bunuh kau.” Herdik Sharif. Setelah mendapat apa yang diingini,dia terus keluar tanpa menghiraukan anak dan isterinya. Mila menangis kecewa sambila mendakap erat anaknya yang tidak mengerti apa-apa.


Igauan Sharif terganggu dengan kehadiran Dr.Ikhwan. Dr.Ikhwan mendekatinya sambil tersenyum. Dia menarik kerusi dan duduk di sisi katil Sharif. Wajah Sharif dipandang. Dia tahu lelaki di depannya itu merupakan seorang yang terpelajar. Tetapi entah bagaimana dia boleh terlibat dengan pengambilan ‘benda haram’ itu. Itu yang menjadi tanda tanya buat Dr.Ikhwan.
“Encik Sharif macam mana hari ini? Ada apa-apa perubahan?” Tanya Dr.Ikhwan. Sharif tetap membisu. Dia tidak mahu diganggu sebenarnya.
“Saya hairan,kenapa orang terpelajar seperti Encik Sharif sanggup mengambil benda-benda itu semua. Bukankah sudah sedia maklum akan keburukkan jika mengambil ‘benda haram’ itu.” Dr.Ikhwan meneruskan bicaranya setelah melihat tiada respon daripada Sharif. Sharif tergamam lantas memandang doktor muda itu dengan garang.
“Huh? Apa kau ingat semua orang yang terpelajar itu tidak mengambil benda ni? Kau silap sebenarnya. Kau juga mungkin akan mengambil benda itu jika kau dilanda masalah. Aku mengambil benda itu mulanya untuk menghilangkan tekanan. Tetapi tidak disangka aku menagihnya.” Ada serak disebalik suara garau Sharif. Dia hiba mengenangkan segalanya. Kini dia menghidap AIDS. Sudah pasti dia tidak dapat diterima lagi.
“Bukan itu caranya. Encik Sharif juga pasti tahu cara yang paling baik ialah berdoa dan memohon kepada-Nya agar dilapangkan dada dan dimudahkan segala urusan. Kenapa tidak encik Sharif melakukannya?” Dr.Ikhwan bertanya lagi. Dapat didengar keluhan berat Sharif.
“Aku tidak pernah terfikir. Lagi pula aku bukan seorang yang beriman. Bila kau berkata seperti itu,aku mula berasa lebih hina. Bertapa naifnya aku selama ini. Mengabaikan anak dan isteri.” Ujar Sharif. Kelopak mata yang sedikit kering kembali basah.
“Masih sempat untuk bertaubat..”
“Apa? Mahukah Allah menerima taubatku? Sedangkan masyarakat sendiri tidak, lagikan pula Tuhan Yang Maha Esa.” Sharif memotong pantas kata-kata Dr.Ikhwan. Dr.Ikhwan hanya mampu menggelengkan kepalanya.
“Setiap kesalahan akan diampuni dengan syarat kita benar-benar menginsafi setiap kesalahan.” Sharif diam mendengar kata-kata doktor muda itu.
“Lagi satu,tidak semua orang tidak dapat menerima pesakit AIDS. Saya yakin,jika keluarga encik Sharif adalah keluarga yang bertimbang rasa,pasti mereka dapat menerima kembali kehadiran encik Sharif. Terutama anak dan isteri encik sendiri.” Sharif memejamkan matanya rapat-rapat. Telinganya mendengar suara isterinya lembut memanggilnya. Disangka itu hanya khayalan. Lantas dibiarkan. Bila kali kedua masih kedengaran,dia membuka mata. Kelihatan anak serta isterinya sudah berdiri di sisi Dr.Ikhwan. Dr.Ikhwan tersenyum memandang Sharif.Mila datang menerpa dan mencium tangan suaminya. Sedikit tiada rasa jelik.
“Maafkan abang Mila..” Sharif memohon ampun disaat isterinya mencium tangannya. Air mata Mila menitis ditangannya.
“Mila juga minta maaf jika ada kesalahan yang telah Mila lakukan. Abang,kami semua tak pernah buang abang. Mak dan ayah juga senang hati menerima kembali abang. Kami berjanji untuk menjaga abang.” Tutur Mila sayu. Hati Sharif menjadi pilu. Bertapa kejamnya dia dulu kerana telah menyeksa isterinya.
“Terima kasih Mila.” Sharif bangun perlahan dari pembaringan dan memeluk Mila dengan kasih sayang. Kini dia insaf. Benar kata Dr.Ikhwan bahawa tidak semua orang tidak dapat menerima orang yang mempunyai penyakit ‘maut’ sepertinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan