Powered By Blogger

Ahad, 9 Jun 2013

CERPEN ( CINTA TERUNTUKKU )


 “ Normal lah. Ini rasanya perasaan orang putus tunang. You kira okey tahu tak sebab you putus denga ex tunang you tu secara berdepan. Daripada I ni,masa hari yang sepatutnya I kahwin dia tinggalkan I. Nanti lama-lama you okey. Trust me sis.” Ujar Jenny cuba memberi semangat kepada aku. Aku memandangnya dengan pandangan redup dan senyuman yang hambar.
            “ Tapi Jen,sampai sekarang I tak tahu apa salah I sampai dia tinggalkan I. Sakit hati I ni.” Aku membalas katanya sambil tanganku menepuk-nepuk dada. Menunjukkan seolah-olah ia terasa sangat perit dengan apa yang aku lalui. Jenny memandang keadaan sekeliling kafe di mana kami berada. Mujur tika itu tiada ramai pengunjung jadi bebas untuk aku dan Jenny melakukan sesi luahan hati.
            “ You tahu,walaupun I ni bukan islam but I trusted what they call faith. I percaya Tuhan pasti ada sebab kenapa dia beri you keadaan macam ni. You teruslah berdoa supaya you akan dapat lelaki yang jauh lebih baik. You kena ingat,Tuhan dah tentukan setiap perjalanan makhluknya.” Panjang lebar bicara Jenny membuat aku jadi kagum dengan gadis berbangsa cina ini. Sahabat sejak aku di zaman universiti. Sentiasa ada disetiap waktu ku. Dia seorang wanita yang cekal,tabah dan bijak. Sebab itu dia masih bisa melalui hari-harinya walaupun ditinggalkan oleh Vincent,bekas tunangnya.
            “ Sumpah,I kagum dengan you. You sememangnya super lady. Terima kasih Jenny sebab you sudi dengar luahan I. Serius I katakan,yang I memang masih sukar nak lupakan apa yang Airil buat dekat I. Tapi as you wish, I akan cuba laluinya dengan tabah!” Ujarku dengan penuh semangat. Jenny tersenyum mendengar kata-kataku. Kami berpelukkan sebelum mengakhiri pertemuan kami.
            Sepanjang perjalanan aku pulang ke pejabat setelah makan tengah hari bersama Jenny tadi,otakku mula mencerna akan semua kata nasihat Jenny. Aku tersenyum. Sememangnya Jenny seorang sahabat yang prihatin. Baiklah,sekarang aku akan cuba bangkit semula. Ya,Haiza Umairah akan kembali. Yeah!


Setelah seminggu pertemuaan aku dan Jenny berlalu,aku mula kembali dengan semangat baru. Aku begitu selesa dengan keadaan ini dan aku mula rasa puas. Sepuas-puasnya seperti budak-budak yang baru dapat coklat. Hehehe..
            Malam itu,seperti malam-malam selepas aku kembali menyandang title single, aku lebih selesa duduk terperap di rumah. Tengok tv,layan mama dan papa dan buat benda-benda yang aku memang nak buat. Hampir saban malam ‘kerja amal’ itu yang sering aku lakukan. Tetapi sejak dua menjak ni hati aku mula terdetik tentang sesuatu perkara. Perkara apakah? Tunggu..
            Setelah mengumpulkan tenaga,aku turun ke bawah di mana ruang tamu berada dan di mana mama dan papa sedang merehatkan diri mereka. Ketika aku turun,mama sedang ralit menonton drama di tv manakala papa ralit membaca majalah Men’s Bussines isu terbarunya. Dengan lagak selamba aku terus merebahkan punggungku di sisi mama. Aku memerhati kedua orang tua ku. Mereka masih seperti tadi. Masih dengan aktiviti mereka. Aku berdehem beberapa kali untuk menarik perhatian mereka dan nampaknya ianya berjaya. Mama memandang ke arah ku dan aku tersenyum kambing.
            “ Kenapa Maira?” Soal mama lembut. Aku mula rasa gugup. Ah,sudah! Tadi bukan main semangat aku nak luahkan. Sekarang apa sudah jadi? Be calm Haiza..be calm. Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum membuka mulut.
            “ Ma,Maira ada nak bincang sesuatu dengan mama dan papa.” Aku cuba mengujarkan kata-kata ku dengan berhati-hati supaya ianya jadi teratur bila didengar. Mama memandangku dengan pandangan agar aku meneruskan kataku. Aku cuba bertenang.
            “ Maira..Maira rasa..nak kerjakan..umrah.” Perlahan-lahan aku menuturkan kata. Mama memandangku dengan satu padangan yang sukar ditafsir. Papa yang tadi ralit membaca terus menjatuhkan majalahnya. Mama dan papa saling berpandangan sebelum senyuman terukir di bibir mereka. Ketika itu aku mendengar mama mengucapkan alhamdulillah. Semakin keliru aku jadinya.
            “ Betul ke dengan apa yang Maira cakap ni?” Papa mula bersuara setelah sedari tadi dia mendiamkan diri. Aku mengangguk. “ Baguslah kalau macam tu. Mama dan papa pun sebenarnya dah bercadang nak pergi. Alang-alang Maira dah cakap macam ni,kita pergi sekali lah ye.” Ujar mama.
            Aku jadi teruja dengan penerimaan keluargaku. Dada mula menjadi lapang menandakan lega. “ Okey,Maira tak kisah ma. Nanti Maira cari agensi yang sesuai.”
            “ Tak apa. Mama dan papa dah jumpa agensi tu sebenarnya. Kami ingat minggu depan nak daftar.” Jawab papa. Aku menjadi semakin teruja. Ternyata hajatku akan terlaksana. Alhamdulillah. Setelah berbincang sedikit dengan mama dan papa,aku mula meminta diri untuk naik ke bilik. Mata sudah berat jadi tiba masanya untuk aku melayan ‘kerenah’ si mata.

Seminggu lepas mama dan papa daftar untuk rancangan umrah kami,aku kini semakin sibuk dengan urusan syarikat dan kelas agama. Rutin harian aku juga sedikit berubah untuk minggu ini untuk menguruskan hal syarikat sebelum aku dan keluarga berangkat ke tanah suci.
            “ Cik Haiza,Dato’ Syukri on the line” Pesan setiausahaku dari interkom.
            “ Okey,tolong sambungkan.” Aku arahkan agar Atikah menyambungkan talian itu. Setelah talian disambungkan,kedengaran suara Uncle Syukri menyapa. “ What’s going on Haiza? Uncle dengar Haiza dengan keluarga nak buat umrah. Betul ke?” itu soalan pertama yang keluar dari mulut teman baik papa. Aku di pejabat sekadar tersenyum walaupun aku tahu dia tidak akan melihat senyuman itu.
            “ Betul lah tu. Mana uncle tahu?” kini aku pula bertanya. Baru kami rancang untuk mengadakan sedikit kenduri bagi memberitahu rancangan kami kepada rakan niaga syarikat. Tetapi,terlebih dahulu berita ini tersebar. Suara Uncle Syukri tertawa kedengaran.
            “ Anak buah uncle ada bekerja di agensi yang Haiza dan keluarga pilih. Dia yang bagitahu uncle. By the way, bile nak pergi?” Uncle Syukri kembali bertanya.
            “ InsyaAllah sabtu ni. Lusa kami akan adakan kenduri. Uncle jemputlah datang nanti.” Ajakku. Alang-alang lelaki ini telah menghubungi ku,jadi tidak salah jika aku terus menjemputnya.
            “ Ialah. Nanti kalau tak ada apa-apa uncle datang.” Jawabnya. Kami mengakhiri perbualan itu. Seketika aku termenung. Rasa gementar semakin kuat bila terfikirkan hari yang dinantikan akan tiba tidak lama lagi. Aku segera mencantas lamunan dan kembali menyambungkan kerja. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi menandakan ada mesej baru tiba. Peti masuk ku buka. Aihh,baru tadi bapak kau telefon dan sekarang kau pula menghantar mesej. Nama bekas tunang ku tertera di skrin telefon.

I dah thu yg u and parents u
nk pergi umrah.
I doakan u dan family u selamat
pergi dan selamat kembali.

Begitulah ayat mesejnya. Haiih, Airil kenapa kau nak sibuk-sibuk pasal aku? Kau buat aku jadi tak keruan. Nak balas ke tak? Dan saat ini hati aku mula berbelah bahagi. Dan aku mengambil keputusan untuk diam sahaja. Itu lebih baikkan?
Malam kenduri diadakan,ramai kenalan papa dan mama yang hadir. Kenalan ku berapa kerat aje yang hadir. Itu pun yang rapat dengan ku. Aku memandang ke arah pintu masuk dan lihat Jenny melangkah masuk bersama adik lelakinya,Jonathan. Gadis itu kelihatan anggun berbaju kurung. Aku melangkah mendekatinya.
Beb,you look so different. You cantik sangat berbaju kurung. Macam gadis melayu terakhir lah.” Usikku. Wajah Jenny mula kelihatan merah. Malu lah tu bila dipuji. Jonathan pula tersengih-sengih.
“ You ni,malu lah I. By the way, saja I pakai. Tak akan I nak datang kenduri you dengan pakai baju tak cukup kain. I tahu adat melayu lah. Lagipun,mana tahu dekat sini I boleh dapat somebody berbangsa melayu kan? Nak juga,mana tahu jodoh I dengan orang melayu.” Panjang lebar Jenny menjawab kataku. Yang tak boleh blah bila dia kata nak cari jodoh dekat sini. Biar betul.
See Joe,your sis really going crazy now. Siapa aje ada dekat sini. Itu semua kawan papa dan mama. You nak ke?” usikku lagi. Jenny menggeleng-geleng tanda tidak mahu.
“ Kalau Kak Haiza nak tahu,dari semalam lagi Kak Jenny sibuk cakap nak cari lelaki melayu. Joe diam sahaja. Malas masuk campur.” Pemuda berusia 17 tahun itu berkata. Serta merta ‘ketam’ Jenny mencubit lengan Jonathan. Aku tertawa kecil melihat keletah dua beradik itu.
“ Sudah lah. Korang berdua ni tak akan nak berdiri dekat sini aje kan? Jom masuk dalam untuk makan.” Ajak ku. Kami melangkah bersama masuk ke dalam. Aku melayan mereka dengan ramah sebelum mama memanggil. Aku meminta diri seketika dan Jenny okey sahaja begitu.
“ Ada apa ma?” Soal ku. Aku lihat di hadapanku sudah berdiri ‘bakal mertua tak menjadi’ ku. Aku segera menyalam Auntie Fatimah dengan penuh hormat.
“ Ni,uncle dan  auntie nak jumpa Maira.” Ujar mama. “ Ouh,ingat apa. Haha..auntie apa khabar?” Soal ku. Sekadar bermanis mulut tidak mahu dikatakan biadab.
Auntie sihat aje. Errkk,Airil ada dekat luar tu. Maira pergilah jumpa dia. Yelah,walaupun kamu berdua dah tak ada apa-apa hubungan,kamu berdua masih boleh berkawan kan?” Aku jadi kelu di situ. Ku halakan pandangan ke arah mama dan mama sekadar menyampaikan jawapan melalui mata. Dan jawapan itu aku tahu bahawa mama juga menyuruhku bertemu Airil. Atau paling tepat ‘mengarah’! Ku hayunkan langkah kakiku meninggalkan kedua ibubapa ku bersama ibubapa Airil. Kelihatan Airil berseorangan sedang menjamu selera di pondok berpayung tepi kolam. Aku mendekatinya.
“ Hai.” Sapa ku. Airil mendongakkan kepalanya. Senyuman manis yang menampakkan lesung pipitnya terukir. Aduh! Bisa penasaran aku jadinya. Behave Haiza Umairah! Hati ku memberi peringatan keras.
“ Hai,duduklah.” Ajak Airil. Dengan lemah aku menarik kerusi dan duduk menghadapnya. Terasa janggal keadaan kami detik itu. Aku rasa bagai berada dalam ruang kosong yang asing. Kami begitu selama beberapa minit sebelum Airil yang memulakan bicara.
Sorry.” Hanya itu yang keluar dari mulutnya. Aku keliru. “ Huh? Kenapa?” Tanya ku.
“ Yelah,untuk semua yang I dah buat. I bersalah.” Jawabnya. Aku diam. “ Haiza?” Panggilnya. Aku yang menunduk mula mendongak. Hati,kenapa masa ni juga kau nak terasa sebak?
“ I okey. I dah maafkan semua silap you.” Jawabku. Aku kembali menunduk. Tak sanggup rasanya hendak menatap wajahnya.
“ Baguslah. Lega hati I.” Keluhan lega kedengaran dari bibir Airil. Aku cuba mencuri ke arahnya. Ah,Airil selalu buat hati aku jadi tak keruan. Aku segera bangun. Airil kelihatannya tercengang dengan tindakkan ku.
“ I rasa dah tak ada apa yang perlu kita bincang kan? Jadi I nak minta diri dulu,Jenny dan adik dia I tak tahu apa jadi.” Aku memberikan alasan dan nama Jenny dijadikan alasan. Maaf Jenny. Airil tersenyum lagi. Ah! Hati jangan kau rapuh. Aku berpesan pada hatiku yang seakan mulai rapuh.
“ Okey. Kirim salam I dekat dia. I doakan you selamat pergi dan selamat balik.” Ujarnya. Aku hanya mengangguk dan terus melangkah pergi. Aku menuju ke arah di mana Jenny dan adiknya berada. Kelihatan mereka masih enak menjamu selera.
“ Kenapa dengan you?” soalnya bila aku sudah berdiri di hadapannya. Mungkin dia melihat wajahku yang sudah bertukar musim.
“ Tak ada apa lah.” Bohongku. Semestinya aku tidak mahu Jenny tahu siapa yang baru ku temui. Jenny mencebik. Dia menyuap puding roti ke dalam mulut.
“ Biar I teka. You jumpa Airil kan?” Duganya. Dia menjelingku melalui ekor mata. Aku diam sahaja.
“ Kan betul. I nampak parents dia tadi. So,what’s going on? Tapi sebelum tu,Joe you tutup telinga. Jangan dengar apa yang kakak sembang.” Sempat lagi Jenny memberi amaran kepada Jonathan. Jonathan buat tidak tahu sahaja.
“ Tak ada apa pun yang berlaku. Kami bual kosong dan I terus pergi. Buat apa nak lama-lama dekat situ kan? Cukup lah I tergur dia macam tu aje. Itu pun sebab dia tetamu I.” Jawab ku. Jenny mendengar dengan khusyuk.
“ Jadi tak adalah dia ajak you kembali together?” Soal Jenny. Aku mengecilkan sedikit mataku.
“ Kalau ada pun I tak nak.” Aku memberikan jawapan. Sebelum Jenny bertanya lebih lanjut,aku fikir sebaiknya aku menutup topik ini. Kami berbual-bual kosong sebelum kenduri tamat dan mereka berdua memohon diri untuk pulang.


Alhamdulillah akhirnya aku tiba juga di Madinah al-Munawwarah setelah beberapa jam berada di dalam pesawat. Itu belum dicampur lagi dengan masa lebih kurang 5 jam di dalam coaster dari Jeddah. Penat rasanya tetapi kerana rasa seronok berada di sini,segala kepenatan dapat diatasi.
            Kami menginap di hotel Diyar Taibah. Hotel itu terletak tidak jauh dari Masjidil an-Nabawi. Dari tingkap bilik ku sahaja aku boleh nampak masjid tersebut. Terasa bertuah kerana bilik aku menghadap masjid tersebut. Ketika aku sedang menikmati panorama Kota Madinah pada hari itu,tiba-tiba pintu bilik ku diketuk. Aku mencapai tudung dan terus membuka pintu.
            “ Eh,mama? Dah nak ke masjid?” Soal ku bila melihat mama sudah bersiap. “ Iyelah. Nanti kita dapat tempat dekat laluan orang ramai pula.” Benar kata mama,aku segera bersiap untuk pergi ke masjid sebelum waktu zohor tiba. Aku turun di lobi dan mama serta papa sudah menunggu di situ. Kami terus melangkah pergi dari situ. Selepas kami selesai bersolat zohor,kami balik ke hotel.
            “ Ma,mama dengan papa naik lah hotel dulu. Maira ingat Maira nak jalan-jalan sekejap.” Aku memberitahu niat ku. Mama dan papa mengizinkan dan aku menghantar mereka dengan pandangan mata sahaja. Aku mula mengorak langkah kearah deretan kedai-kedai yang menjual abaya dan pelbagai lagi barang. Aku memilih untuk berjalan disekitar kawasan yang berdekatan dengan hotel ku sahaja. Sebuah kedai menjual kurma berjaya menarik perhatian ku. Aku melangkah masuk ke dalam kedai itu. Pelbagai jenis kurma yang ada membuat aku jadi rambang mata. Aku mengambil keputusan untuk membeli sekilo kurma dan sekotak besar coklat kurma terlebih dahulu untuk mama,papa serta aku. Aku berasa bangga juga apabila penjual itu memuji rakyat Malaysia dan tak sangka bahawa bahasa ibunda ku sampai juga ke tanah Arab. Pandai juga pak arab ni berbahasa melayu. Dalam diam aku memuji juga penjual ini.
            Setelah aku rasa tiada apa yang mahu dibeli,aku terus mengorak langkah untuk balik ke hotel. Ketika aku berada di dalam perut lif,tiba-tiba ada seorang pemuda merempuh masuk ketika pintu lif hampir tertutup. Terkejut beruk aku jadinya. Beruk pun tak terkejut macam aku kot. Aku pandang lelaki itu dan lelaki tu pandang aku. Macam ada kejutan elektrik yang menyalur dalam salur darah aku ketika bertentangan mata dengannya. Aku segera tersedar. Aku menundukkan kepala dengan segera. Aku cuba mencuri lihat ke tingkat mana dia mahu pergi. Ouh,tingkat 3. Atas tingkat aku je. Tanpa sedar bibirku mengukir senyuman. Aish,kenapa dengan aku ni. Dah lah hati ni dari tadi asyik berdengup laju aje. Allah,peliharalah hatiku. Pintu lif terbuka tanda aku perlu segera keluar dari situ. Sebelum aku sempat keluar entah bagaimana mataku dan mata lelaki itu sekali lagi bertentangan. Aku segera bergerak laju. Aku tidak mahu hatiku menjadi semakin tak keruan. Aku berhenti seketika di hadapan bilik mama. Aku mengetuk pintu bilik itu dan  wajah mama terjengol di muka pintu.
            “ Papa mana?” Tanya ku. “ Ada tengah tidur sekejap. Penat katanya. Nanti mungkin Asar mama tak pergi kot. Mama pergi waktu maghrib. Kalau Maira nak pergi,pergi lah ye,itupun kalau Maira berani.” Aku tersenyum mengangguk. Setelah aku memberikan kurma yang ku beli untuk mama dan papa,aku terus berlalu masuk ke dalam bilikku yang berada di sebelah bilik mama.
            Di dalam bilik aku terus membersihkan diri agar badanku kembali segar. Setelah bersiap,aku mengambil keputusan untuk tidur seketika. Aku rebahkan tubuhku di atas katil. Ketika itu fikiran ku mula terbayang. Wajah pemuda tadi kembali menerjah ruang minda. Aish,dah parah sangat aku ni. Bayang pemuda itu segera aku padam. Dalam hati aku berdoa agar Allah memberikan aku jodoh yang tepat selepas ini dan ku pinta ada petunjuk hadir di dalam mimpi.


Aku terus terbangun dari tidur. Serasanya aku baru sahaja bermimpi akan kehadiran seorang lelaki yang wajahnya tidak dapat ku lihat. Ah! Aku tahu ini semua mainan tidur. Gara-gara fikirkan jodoh lah ni sampai termasuk mimpi yang merapu-rapu. Kepala aku pula terasa sakit yang amat dalam sekelip mata. Mungkin sebab bangun dengan terkejut sebentar tadi. Aku mengurut dada apabila pintu diketuk tiba-tiba. Bertambah terkejut aku dibuatnya. Dengan keadaan yang terhuyung-hayang aku gagahkan juga diri mencapai tudung dan pergi membuka pintu. Wajah mama dan papa kelihatan.
            “ Maira tak siap lagi?” Soal mama. Entah kenapa badan ku jadi tidak sedap pula. “ Tak lagi ma.” Jawab ku. Aik,tengah hari tadi okey aje. Lepas bangun tidur sakit semua datang. Ujian..ujian.
            “ Maira kenapa? Tak sihat?” Tangan mama mula merayap di dahi ku. Jelas riak risau di wajahnya. “ Maira tak sedap badan aje. Mungkin faktor perubahan cuaca kot.” Aku cuba menyedapkan hati mama.
            “ Maira pergi lah rehat. Tak payah pergi masjid. Nanti mama dan papa balik masjid,kami telefon panggil makan. Dah pergi rehat dan makan ubat. Ini arahan!” tegas suara mama. Ternyata dia semakin risau. Aku turut sahaja katanya.
            “ Iyelah. Tapi mama pun jangan sampai tak khusyuk solat tu sebab fikirkan Maira. InsyaAllah Maira dekat sini selamat.” Ujarku. Aku tidak mahu ibadat mama terganggu keranaku.
            “ Dah,Maira pergi lah rehat. Mama dengan papa pergi dulu.” Papa pula bersuara. Aku menghantar mereka melalui pandangan mata sahaja. Setelah mereka hilang dari pandangan,aku terus masuk ke dalam untuk mengambil wuduk dan duduk mengaji sementara menunggu asar tiba. Setelah asar tiba aku terus mengerjakan solat dan aku mengambil keputusan untuk tidur seketika selepas solat kerana ku rasakan kepala semakin terasa sakitnya. Yeah,walaupun aku tahu tidur lepas asar tidak berapa elok.
            Aku terjaga apabila kedengaran sayup azan berkumandang. Aku mencapai telefon bimbit yang berada di atas meja sisi katil. Sudah pukul 7.05 minit rupanya. Aku terus bangun dari katil untuk ke bilik air. Aku membersihkan diri dan berwuduk. Sakit kepala semakin berkurang rasanya jadi tidak lah aku rasa seperti orang mabuk ketika itu. Jalan terhuyung-hayang. Setelah selesai mandi,aku segera menunaikan solat maghrib dan mengaji sementara isyak tiba.
            Beberapa minit selepas isyak berlalu,aku mendapat mesej daripada mama yang meminta agar aku turun ke ruang makan. Aku segera bersiap ala kadar dan terus keluar dari bilik. Setibanya aku di aras yang menempatkan ruang makan itu,aku terus mencari keibat mama dan papa. Bau masak lemak cali api pula seakan memanggil. Oleh kerana semua

jemaah umrah yang menginap di sini semua dari Malaysia,jadi tidak sukar untuk kami mencari masakan tanah air juga. Ketika itu juga aku melihat mama dan papa sudah berada di meja yang letak di sudut yang tertutup sedikit. Aku terus pergi ke bahagian makanan dan terus menuju ke arah mereka. Mama dan papa tersenyum melihat kehadiran ku.
            “ Maira dah okey?” Soal papa setelah aku duduk. “ Dah. Lepas asar tadi Maira rehat sekejap,lepas tu bangun mandi dan dah kurang sikit rasa sakit.” Jawabku.
            “ Kalau Maira tak okey lagi,beritahu mama. Nanti kita pergi hospital.” Mama pula bersuara. Aku yang baru mahu memulakan suapan terhenti. Aku tidak setuju dengan cadangan mama kerana aku tahu kos perubatan di sini agak mahal walaupun mungkin kami mampu.
            “ Tak apa ma. Selagi Maira larat,Maira okey. Ma,nanti call lah along. Maira rindu dia.” Rengek ku manja. Along iaitu abang kandung ku yang berada di Malaysia. Dia dah berkahwin. Mention awal-awal. Haha..
            Ketika aku ingin meneruskan suapan yang ketiga,aku rasakan ada sepasang mata yang sedang memerhatikan ku. Aku memandang ke arah kanan ku. Ternyata memang benar telah ku. Lelaki yang semalam berada di dalam lif bersama ku itu tuan empunya sepasang mata itu. Jauh dari seberang sana dia yang berbual dengan keluarganya sering mencuri pandang ke arah ku. Tekak ku yang tadi bukan main berselera untuk makan terus terbantut. Tekak ku mula rasa seperti berpasir. Jika telan sebarang makanan pun macam tak mampu. Aku meneguk air oren yang berada di dalam gelas ku. Nah! Kenapa pulak air oren yang tadinya rasa masam-manis boleh jadi kelat semacam ni. Aish,parah benar aku ni. Mama perasan dengan perubahan ku segera menegur.
            “Maira kenapa?” Wajah mama tampak gelisah juga ketika itu. Soalan mama membuatkan papa juga memandang ku. “ Err..Maira rasa tak sedap badan balik. Ma,Maira naik bilik dulu.” Pinta ku. Aku terus bangun untuk berlalu. Ketika aku berada di hadapan lif,kelihatan lelaki itu baru hendak melangkah. Untuk mengelakkan kami satu lif lagi,aku kembali ke mama dan papa. Kedua orang tua ku kelihatan pelik. Aku tersengih sahaja. Mereka yang baru sahaja hendak bangun terus duduk kembali.
            “ Kenapa tak naik lagi?” Soal papa. Aku menggaru kepala yang gatal. “ Maira nak tunggu mama dengan papa.” Alasan ku. Mama dan papa menggeleng sahaja. Kami terus naik ke tingkat di mana bilik kami berada. Dalam otak,bayangan lelaki tu masih terbayang.


Pagi itu cuaca sangat baik. Kerana badan masih tidak sedap,pagi itu aku ketinggalan lagi untuk ke Masjidil an-Nabawi. Mama menyuruh ku rehat sahaja. Seperti semalam,bila tiba waktu makan mama akan menghantar mesej menyuruh aku turun untuk makan. Setibanya aku di ruang makan itu, orang pertama yang aku nampak ialah,lelaki itu lagi? Kenapa mesti dia lagi? Ya Allah kenapa begini. Aku cuba menenangkan hatiku. Perlahan aku menuju ke meja bufet dan menngambil sarapan ku. Selepas itu aku terus mencari mama dan papa. Malang sekali bila meja mama dan papa dekat dengan meja lelaki itu. Mahu tidak mahu terpaksa aku duduk juga. Ketika aku menjamu selera, tidak sudah-sudah mata ku dan dia bertembung. Aku mengucap istighfar. Mujur masa itu dia bangun dahulu. Saat itu hati menjadi sayu. Aku tahu hari ini dia akan ke Mekah kerana dia sudah siap berihram. Berat pula hati ni nak lepaskan. Tak apa esok aku pun akan ke sana. Dalam separuh sedar hati ku berdoa agar kami dipertemukan di sana atau meminta agar Allah memberiku petunjuk dan juga mimpi sebagai petanda jodohku.
            Selesai sudah aktiviti ziarah hari ini. Aku mengemas pakaian ku agar tiada sehelai pun tertinggal kerana esok,awal-awal pagi lagi kami akan bertolak ke Mekah. Hari itu aku,mama dan papa menghabiskan masa untuk membeli buah tangan dan barangan yang ingin kami beli di sini untuk di bawa pulang ke Malaysia. Banyak juga barang yang kami beli. Nasib baik agensi kami menyediakan bas untuk kumpulan kami. Kalau coaster sahaja macam dari Jeddah ke Madinah kelmarin? Nyaya aje.
            Malam itu selepas balik dari masjid,kami packing semua barang. Bila sudah pasti semua kemas,kami terus tidur untuk menanti hari esok yang ku yakin pasti lebih bermakna. InsyaAllah.


Sudah dua hari aku di Mekah. Pertama kali berada di sini,hati rasa sayu dan kerdil. Perasaan ini juga sama ketika pertama kali melihat kaabah. Mengalir air mata ku tanda betapa kerdil aku di dunia ciptaanNya. Dan sepanjang dua hari ini macam aku temu. Ragam manusia dari seluruh pelusuk dunia dengan mazhab masing-masing. Begitulah manusia. Aku dan keluarga menginap di Hotel Fairmont Clock Royal Tower. Iaitu hotel yang betul-betul berada di bawah menara jam di Mekah. Panorama pemandangannya,Subhanallah! Tuhan sahaja tahu perasaan teruja ku ini. Dan,sepanjang dua hari ini,kelibat lelaki di Madinah itu juga tak ku temui. Ahh! Biarkanlah. Mungkin itu ujian untuk aku. Untuk melihat sejauh mana kuatnya hatiku.
            Satu hari lepas zohor,aku tertidur kerana kepenatan. Tiba-tiba aku terbangun dengan nafas tidak teratur. Aku bermimpi lagi tentang seorang lelaki. Lelaki yang sama muncul dalam mimpiku di Madinah dulu. Kali ini aku dapat mengetahui namanya sekali. Fattah,satu nama yang unik bagiku. Aku beristighfar dan menganggap perkara ini sekadar mainan tidur. Aku terus bangun dan berlalu ke bilik air untuk mandi.
            “Mama,hari ni mama nak beli apa lagi?” Soal ku ketika menemani mama di Bazar malam itu. Mama kelihatan sibuk memilih abaya yang rambang di matanya. Aku memerhati sahaja. Mama menarik ku ke dalam sebuah kedai yang ada di situ. Macam-macam jenis abaya yang mama suai padankan di badanku dan badannya. Aku sekadar melayan. Ketika mama sedang memadankan sehelai abaya berwarna kelabu di tubuhku,aku merasa ada sepasang mata memerhati. Aku menoleh ke arah satu sudut di kedai itu. Masa itu bagai terhenti denyutan jantung ni bila melihat orang yang sedang memerhatikan ku. Rupanya lelaki yang ku temui di Madinah. Dalam banyak-banyak tempat,ternyata di kedai ini juga kami bertemu. Au jadi tergamam. Satu apa perkataan yang mama katakan aku tidak dengar. Tahu-tahu sahaja aku sudah ada di jalan menuju ke hotel kami.
            “ Anak mama ni okey ke tak?” Tanya mama setelah memerhatikan tingkah ku yang pelik. Aku tersenyum kambing. “ Okey. Maira okey aje.” Dalih ku. Tangan mama ku pimpin dan segera menariknya agar segera berlalu. Bertambah bingung agaknya mama.
            Aku jalani aktiviti di sini dengan ikhlas walaupun pertemuan dengan lelaki hari itu kadang-kadang menerjah di fikiran,segera ku tepis. Aku fokuskan kepada ibadahku. Sementara itu tidak sudah-sudah aku didatangi mimpi yang berkaitan lelaki yang bernama Fattah itu. Kadang-kadang hatiku tergerak adakah ini petanda? Tidak mahu berfikir panjang aku mula mengemas barang yng masih belum di masukkan ke dalam beg. Hari ini kami akan kembali ke tanah air. Saat ini hati berdoa agar segalanya selamat.


Alhamdulillah akhirnya aku dan keluarga selamat tiba di KLIA. Gembira kami apabila along dan isterinya menyambut kami. Aku peluk along erat-erat tanda rindu. Along menggosok kepala ku sperti budak-budak pula.
            “ Along macam mana? Sihat ke dengan Atikah?” Soal mama. Tangannya sudah memeluk erat bahu menantu perempuan kesayangannya.
            “ Sihat ma. Bahkan Atikah ni,bertambah sihat. Maklumlah kami dah nak tambah ahli keluarga.” Jawab along dengan senyuman meleret. Mama apa lagi. Gembira bukan kepalang. Habis Kak Atikah dipeluknya dengan erat.
            “ Alhamdulillah,termakbul juga doa mama. Lepas ni mama kena tumpu pada Maira pula lah.” Ujar mama. Kata-kata mama membuatku membukam. Sepanjang perjalanan pulang aku hanyut dengan kata-kata mama. Aku mengerti maksudnya. Dia mahu aku kahwin segera. Alahai mama,kenapa begitu awal?


Beb,I miss you so much!” Aku dan Jenny berpelukkan. Rindu rasanya pada sahabatku seorang ni. Ternyata banyak perubahan yang berlaku. Jenny di hadapanku sudah berubah. Dia berbaju kurung! Bila sedar aku perhatikannya demikian dia tersengih-sengih.
            “ I nak berubah.” Jawabnya. Aku mengangkat kening sebelah tanda hairan. Tidak puas hati dengan jawapannya.
            “ Yeke? Atau you dah jumpa mamat melayu yang berkenan di hati?” Dugaku. Jenny menayang giginya lagi. Sah! Jangkaan ku benar sekali. “ Siapa?” Soal ku lagi. Jenny kelihatan teragak-agak.
            “ Erk..Firdaus. budak engineer dekat ofis you.” Ternganga aku. Tak sangka dia dengan Firdaus. Jurutera di syarikat ku. Biar betul?
            “ Serius?” Jenny angguk. “ Parents kami dah restu.” Bila mendengar kata-kata Jenny aku jadi lega. Bertambah lagi umat Nabi Muhammad.
            “ I dah peluk Islam.” Satu lagi kejutan. Baru nak tanya bila nak masuk Islam. “ Bila?” Tanya ku sedikit teruja.
            “ Beberapa hari sudah.” Aku mengucap syukur. “ I rasa tenang lepas peluk Islam. Lagi-lagi family I tak kisah.”
            “ Bagus kalau macam tu. Jadi jagalah agama ni sebaiknya.” Nasihatku. Aku gembira kerana pertemuan aku dengan sahabatku hari itu memberikan rasa gembira. Lagi bila Jenny kata dia akan berkahwin tak lama lagi. Ya,Jenny atau nama Islamnya Nur Aidah. Sedap nama tu. Katanya Firdaus yang pilih. Tersenyum aku mendengar ceritanya.
            Namun kegembiraan itu tidak lama. Balik itu mama dan papa sudah membawa berita mengejut. Dan berita itu membuatkan aku rasa macam yang aku ni dah terdesak sangat. Tapi aku diam kan aje untuk mendengar kata mereka.
            “ Mama dan papa dah sebulat suara. Kami akan kahwinkan Maira dengan anak kawan kami.” Aku tergamam. “ Tapi kenapa ma? Awal lagi kan? Maira pun baru lepas putus tunang dengan Airil. Tak akan secepat itu?” Aku cuba mempertahankan diriku. Tapi mama tetap dengan keputusannya. Alasannya mereka tidak mahu pisang berbuah dua kali.
            “ Malam esok kami akan buat makan malam. Tempat dekat rumah kita. Pastikan Maira balik awal.” Ini arahan mama. Apa lagi yang dapat aku katakan selain menerima. Kahwin tanpa tunang? Mencabar hatiku dan kesabaran. Nombor telefon along aku dail.
            “ Along!” terjah ku bila panggilan berjawab.
            “ Ya Allah,adik ni kenapa? Tak reti nak bagi salam dah? Hah,kenapa ni?” Soal along. Aku jadi malu sendiri mendengar kata-kata along. Aku mengeluh dan membuka cerita tentang rancangan mama dan papa.
            “ Terima aje dik. Along dah tahu dan along setuju sangat. Adik,pilihan orang tua adalah yang terbaik. Percaya along. Bukti,along dengan Kak Atikah kau ni hidup bahagia juga walaupun aturan keluarga. Terima aje ye dik.” Kata along. Apa lagi harus aku kata? Along juga seia dan sekata dengan parents kami. Siap bandingkan dengan kehidupan dia lagi. Mahu tidak,aku turutkan sahaja. Tidak mengapalah,pasti ada hikmah semua yang terjadi.
            Seperti yang mama katakan semalam,makan malam keluarga aku dan keluarga pihak lelaki akan diadakan malam ini. Tujuannya untuk aku dan bakal suamiku mengenali antara satu sama lain. Dengar khabar lelaki itu tua setahun dariku. Tak apalah kenal dulu kan. Tak suka boleh bantah. Itu syarat yang ku kenakan kepada mama. Aku merapikan diri untuk kali terakhir. Abaya berwarna kelabu dan tudung awning senada dengannya ku rapikan. Melihat abaya itu membuatkan aku terkenang pertemuan aku dengan lelaki yang aku temui di Madinah dan Mekah dulu. Aku tepis bayangan lalu. Masa depan ku kini bersama insan lain. Tak perlu aku bayangkan kemanisan yang tak mungkin terjadi.
            Aku turun ke bawah dan kelihatan along sibuk mengurut kaki Kak Atikah yang membengkak akibat pembawakan budak. Mereka kelihatan bahagia. Terdetik hatiku akan kebenaran kata-kata along semalam. Aku terus menuju ke dapur untuk membantu Mak Yah. Mak Yah hanya membenarkan aku memotong kek sahaja. Aku terima asalkan dapat buat kerja. Ketika memotong kek,kedengaran suara riuh di ruang tamu depan. Aku agak pasti mereka sudah tiba. Aku mempercepatkan kerja ku.
            “ Mana anak dara kau Rina?” Suara seorang wanita bertanya kepada mamaku kedengaran. “ Ada dekat dapur. Kejap aku panggil.” Jawab mama. Seketika kemudian kedengaran suara mama memanggil aku. Aku segera membawa kek ke ruang depan dan diletakkan di atas meja makan di situ. Setelah itu aku terus datang ke arah kelompok mereka yang ada di ruang tamu depan. Ketika menyalami teman mama yang khabarnya teman baik sekolah menengah mama dulu,otak aku mula mencerna. Seakan pernah aku temui wanita ini. Tapi di mana. Mama kemudian kata mereka bertemu di Madinah dulu. Madinah? Aku mula memproses otakku. Ketika itu,aku memandang ke arah suami,anak perempuan dan anak lelaki Auntie Zaharah. Anak lelaki? Tergamam aku melihat lelaki itu. Lelaki itu kelihatan bersahaja. Tiada riak terkejut. Masa itu jugalah along sibuk nak pasang lagu sentimental. Lagu Akim pula tu. Bawa Kau Pergi. Ya,sangat kena dengan tajuk dan lirik lagu itu,aku benar seakan sudah terbawa pergi oleh perasaan. Lelaki di Madinah itu ternyata kini berdiri di hadapanku. Lama kami betentang mata.
            “ Ini lah bakal suami Maira. Muhammad Haikal Fattah.” Bisik mama di telinga ku. Aku memandang ke arah mama untuk meminta kepastian. Mama mengangguk mengiyakan. Aku memandang Fattah lagi. Kuasa Allah,ternyata mimpi-mimpi yang aku alami adalah petunjuk dia jodoh yang sudah tertulis untukku. Aku tersenyum
            “ Haiza Umairah.” Aku menyebut namaku di hadapan keluarga kami. Sebagai permulaan perkenalan kami. Fattah juga tersenyum. “ Muhammad Haikal Fattah.” Ujarnya. Kini aku yakin untuk menerimanya. Tiada bantahan!


“ Aku terima nikahnya Haiza Umairah Binti Husin dengan mas kahwin sepotong surah annur dan senaskah al-Quran tunai.” Ujar Fattah dengan satu nafas. Suara saksi mengatakan sah,membuatkan hatiku sebak tiba-tiba. Sebak kerana tidak disangka dia jodohku dan sebak kerana lepas ini tidak dapat aku bermanja lebih dengan mama. Mama mengusap bahuku.
            “ Jangan nangis. Anak mama dah cantik-cantik mana boleh menangis. Tu,Fattah datang nak sarung cincin.” Ujar mama lembut. Aku di;ayan persis anak kecil. Ini yang membuatkan aku bertambah sebak.
            “ Assalamualaikum.” Suara Fattah memberi salam membuatku mendongak. Seperti pertama kali kami bertemu dulu,aku jadi kaku. Tangan aku diraih dan cincin disarungkan. Automatik tangannya ku cium dan kemudian aku mula merasa sentuhan hangat di dahiku. Dia mencium dahiku dengan penuh kasih.
            “ Terima kasih.” Tanpa sedar itu yang aku ucapkan. Dia tersenyum. “ Terima kasih.” Katanya. Aku keliru.
            “ Biar kita sama-sama kasih.” Jawabnya. Aku tersenyum malu. Along pula sudah mengusik. Terasa hangat pipi ku ketika itu. Kami bangun dan mengadakan sesi bergambar. Jenny datang memelukku. Ciumannya melekat di pipiku.
            “ Tahniah kawan. Barakallah.” Ujarnya. Aku memandang Jenny dengan riak bangga. “ Firdaus ajar.” Jawabnya. Kami sama-sama tertawa. Akhir sekali mereka meminta agar aku bergambar dengan Fattah. Aku turutkan sahaja. Lingkaran tangan Fattah di pinggangku membuatkan aku gugup.
            “ Kuasa Allah itu Maha Hebat. Dia pertemukan kita di tempat suci dan dia satukan hati kita dalam ikatan yang suci.” Bisiknya di telingaku. Aku tersenyum. Memang benar katanya.
            “ Ternyata rancangan Allah lebih indah berbanding rancangan kita.” Jawabku. Tidak semena-mena satu kucupan hinggap di pipiku dan..snap! Gambar aksi Fattah mencium pipiku ditangkap. Merah wajahku menahan malu. Dalam hati kegembiraan hanya Allah yang tahu. Terima kasih Allah kerana kau memberikan aku jodoh yang terbaik. Jodoh yang menjadi pilihanku dan pilihan keluarga. Aku bahagia dengan rencanaMu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan